Monday, 16 February 2009

MEMBANDING NOMBOR PERPULUHAN




Cara mencari perpuluhan yang terkecil untuk
4.05, 4.5, 4.55, 4.055, 4.505


4.050
4.500
4.550
4.055
4.505


  • tukar nombor perpuluhan kepada yang ditunjukkan

  • samakan titik perpuluhan

  • lihat nombor pertama selepas titik perpuluhan. pilih nombor yang kecil.

  • jika ada dua nombor sama, bandingkan pula nombor di kedudukan kedua dari titik perluluhan sebelah kanan.didapati masih lagi sama.

  • terus ke nombor ketiga sebelah kanan titik perpuluhan,

  • di sini kita akan lihat bahawa 4.05 ialah nombor perpuluhan yang paling kecil.

SAMBUTAN HARI GURU 2007

TUGASAN BAHASA MELAYU TAHUN 4A

Assalamualaikum,
Cikgu harap semua anak murid cikgu sudah bersedia untuk menghadapi Ujian Formatif 1 esok. Syabas saya ucapkan kepada murid cikgu yang bernama Syarifah kerana memanfaatkan apa yang cikgu tuliskan di blog ini. Cikgu berharap agar murid yang lain pun boleh ikut macam dia.

Di sini cikgu sertakan latihan menulis berita.

Soalan:
Andaikan kamu seorang wartawan. Kamu ditugaskan untuk menulis berita tentang suatu kejadian bencana alam yang berlaku di tempat kamu. Sediakan berita selengkapnya.


Panduan
Cari keratan berita tentang salah satu kejadian bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh, ribut, dan sebagainya. Kita boleh gunakan isi yang kita baca sebagai panduan, tetapi guna bahasa sendiri untuk mengarang. Murid tidak boleh meniru berita itu secara langsung. Selamat menulis.

Friday, 30 January 2009

KARANGAN BERITA

  1. Berita ialah karangan berformat
  2. Karangan ini memerlukan penjelasan atau maklumat tentang sesuatu kejadian seperti kemalangan, bencana alam, kebakaran, aktiviti dan sebagainya.
  3. Biasanya berita disediakan oleh wartawan atau pemberita yang membuat liputan tentang sesuatu peristiwa.
  4. Untuk menghasilkan sesuatu berita, murid perlu menjawab persoalan seperti apa, bila, siapa, berapa, di mana, bagaimana dan mengapa.
  5. Berita dimulakan dengan menyatakan tempat dan hari atau tarikh kejadian.
  6. Bentuk atau format berita perlu dipatuhi.
Contoh karangan berita.
SELANGOR, Ahad - Suatu kejadian tanah runtuh telah berlaku di Bukit Antarabangsa berhampiran dengan jalan keluar ke Lebuh Raya Ulu Kelang. Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.00 pagi.
Tanah dan batu-batan yang runtuh itu telah menutupi sebahagian besar jalan keluar ke lebuh raya. Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)melaporkanh bahawa kejadian itu berpunca daripada pergerakan bawah tanah akibat hujan berterusan sejak seminggu yang lalu.
Menurut pegawai MPAJ yang bertugas di tempat kejadian, seramai 3 orang dikhuatiri meninggal dunia berdasarkan maklumat dari keluarga masing-masing. Sehingga kini, pasukan mencari dan menyelamat SMART masih meneruskan kerja-kerja pencarian mereka.
Seramai lebih kurang 6000 penduduk terperangkap kerana jalan yang mengubungkan taman itu tertimbus. Pihak polis mengawal tempat runtuhan dan pihak tentera membuat laluan alternatif. Kerja-kerja memunggah tanah-tanah berjalan sepanjang masa. Menteri Besar Selangor, menjangkakan jalan akan boleh digunakan selepas 3 minggu.
Mangsa-mangsa yang terselamat ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Kelang. Sementara ada juga mangsa yang menumpang di rumah saudara rapat mereka. Pihak kerajaan Negeri Selangor menawarkan pakej bayaran separuh harga untuk keluarga yang ingin tinggal di Hotel De Palma, Ampang.
Satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu dengan lebih terperinci. Berikutan dengan kejadian itu, semua projek yang melibatkan pembangunan di lereng-lereng bukit dihentikan serta merta.

Wednesday, 28 January 2009

TATABAHASA TAHUN 4

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Berikut ialah nota ringkas yang sempat cikgu sediakan untuk murid-murid. Selamat membaca.

Kata Nama Am
Digunakan untuk merujuk manusia, binatang, tempat, dan benda secara am. Contohnya guru, arnab, sekolah, kereta, ...

Kata Nama Khas
Digunakan untuk merujuk manusia, binatang, tempat, dan benda secara khas. Contohnya Cikgu Murni, Si Comel, Taman Setiawangsa, Nokia, ...

Kata Ganti Nama Diri
Kata ganti nama diri pertama - saya, aku, kita, patik, hamba,...

Kata ganti diri kedua - kamu, awak, engkau, anda,...

Kata ganti diri ketiga - mereka, dia, beliau, baginda,...

Kata Adjektif
Perkataan yang menerangkan tentang sifat atau keadaan
Terdiri daripada :
  1. sifat - berani, takut, pandai,...
  2. ukuran - tinggi, rendah, panjang, pendek,...
  3. waktu - lama, sekejap, lampau, ...
  4. bentuk - bujur, leper, bulat,
  5. warna - hitam, putih, merah, biru, ...
  6. jarak - jauh, dekat, hampir, ...
  7. perasaan - sayang, benci, suka, ...
  8. cara - lambat, sering, jarang, ...
  9. pancaindera - tawar, manis, cantik, kasar, ...
Kata Kerja
Perkataan yang digunakan merujuk kepada sesuatu perbuatan dilakukan.
Kata Kerja terdiri daripada :
  1. Kata Kerja Transitif - memerlukan objek untuk membentuk ayat. Contohnya: Wannor menjahit baju.
  2. Kata Kerja Tak Transitif tidak memerlukan objek untuk membentuk ayat. Contohnya: Ikhwan sedang berlari.
Kata Sendi Nama
Perkataan yang menghubungkan kata nama dengan perkataan atau frasa dalam sesuatu ayat.
Contohnya: dari, daripada, ke, kepada, pada, di, sejak, bagi, dengan, ...
Selamat belajar
Cikgu Rosli Juhari

KAJIAN TEMPATAN TAHUN 4

Salam sejahtera.

Ini ialah nota ringkas yang sempat cikgu sediakan.

Unit 1 : Perkembangan Corak Petempatan Manusia

A. Sejarah awal petempatan manusia ialah :
  1. dalam dan sekitar gua
  2. kawasan lapang
  3. tepi sungai atau tasik
Gua dijadikan tempat tinggal kerana :
  1. terdapat pelbagai jenis sumber makanan
  2. boleh dijadikan tempat tinggal dan tempat perlindungan
  3. binaannya kukuh, ruangannya besar, dan suhu di dalamnya yang sejuk.
Kawasan lapang dijadikan tempat tinggal kerana :
  1. boleh bercucuk tanam
  2. memburu binatang
Pinggiran sungai atau tasik dijadikan tempat tinggal kerana :
  1. boleh mendapatkan sumber air
  2. boleh memburu binatang liar
  3. dapat memungut pucuk-pucuk daun
  4. dapat menangkap ikan
  5. sungai juga dijadikan sebagai perhubungan


B. Jenis Petempatan Awal Manusia
Terbahagi kepada 3 :
  1. berpindah-randah
  2. persekitaran gua
  3. tempat kediaman (pondok atau ran)
Manusia zaman dahulu berpindah-randah kerana :
  1. mendapatkan sumber makanan - pucuk daun, buah-buahan,
  2. memburu binatang - daging untuk makanan, kulit untuk pakaian, tulang untuk senjata
  3. berlakunya kematian - tempat itu tidak sesuai untuk dijadikan tempat tinggal
Keistimewaan Manusia Tinggal di Persekitaran Gua
  1. dapat memburu binatang
  2. dapat memungut hasil hutan dan pucuk kayu
  3. dapat menjadikan tempat berlindung daripada hujan dan panas
  4. menghindari diri daripada ancaman musuh seperti binatang buas
Tempat Kediaman Petempatan Awal
  1. Pada mulanya manusia membina pondok dan ran yang mudah
  2. Kemudian, mereka membina pondok yang lebih baik dan kukuh
  3. Ran dibina di atas pokok. Kebiasaanya terdapat di negeri Pahang, Perak dan Kelantan.
Sekian.
Cikgu Rosli Juhari

Monday, 26 January 2009

KARANGAN LAORAN TAHUN 4

Salam sejahtera.

Berikut ialah panduan menulis karangan laporan.

  1. Laporan ialah karangan berformat.
  2. Karangan ini memerlukan murid melaporkan tentang sesuatu aktiviti yang telah berlaku seperti Hari Guru, lawatan, perkhemahan, pertandingan, kegiatan persatuan dan sebagainya.
  3. Biasanya laporan disediakan oleh orang yang memegang jawatan seperti pengerusi, setiausaha, dan ahli jawatankuasa sesuatu badan atau persatuan.
  4. Untuk menghasilkan sesuatu laporan, murid perlu menjawab persoalan seperti apa, siapa, bila, di mana dan mengapa.
  5. Bentuk atau format laporan perlu dipatuhi.
CONTOH KARANGAN LAPORAN
Soalan 1: Baru-baru ini sekolah kamu telah mengadakan temasya sukan peringkat sekolah. Sebagai setiausaha sukan, kamu diminta menyediakan laporan tentang temasya sukan tersebut. Sediakan laporan selengkapnya.



Laporan Temasya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur
Temasya sukan tahunannyang kesebelas telah diadakan pada 23 Mac 2008 yang lalu. Sukan ini diadakan di Stadium Nasioanal, Bukit Jalil. Acara bermula pada pukul 8.00 pagi. Sebanyak 100 orang murid mengambil bahagian dalam pelbagai acara seperti lumba lari, lompat jauh, lompat tinggi dan melempar cakera. Mereka mewakili Rumah Kuning, Rumah Biru, Rumah Hijau, dan Rumah Merah.
Yang Dipertua PIBG sekolah dijemput untuk merasmikan temasya sukan kali ini. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap agar peserta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam acara sukan yang disertai.
Murid yang mengambil acara sukan begitu bersemangat dalam acara sukan yang mereka sertai. Tambahan pula para penonton yang hadir memberi sokongan yang padu kepada mereka. Banyak ibu bapa yang hadir untuk memberi sokongan kepada anak mereka yang menyertai pertandingan sukan itu.
Setelah semua acara selesai, majlis penyampaian hadiah telah diadakan. Guru Besar menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Beliau juga turut mengumumkan penerima anugerah olahragawan dan olahragawati sekolah.
Temasya sukan tahunan ini berjaya mencungkil bakat-bakat baru dalam lapangan olahraga. Pihak jawatankuasa pengelola mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan sukan tahun ini.
Laporan disediakan oleh, 30 MAC 2008.
Irsyad
...........................................
( IRSYAD BIN ROSLI )
Setiausaha Sukan,
Sekolah Kebangsaan Setiawangsa
Soalan 2: Anda telah menyertai perkhemahan unit beruniform sekolah. Anda diminta menulis laporan tentang perkhemahan tersebut. Panjang laporan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah kata dan tidak melebihi 120 patah kata.

Laporan Perkhemahan Unit Beruniform

Pada 27 hingga 30 Julai yang lalu, sekolah ini telah mengadakan aktiviti perkhemahan yang diadakan di Sungai Congkak, Selangor.
Aktiviti ini disertai oleh semua ahli unit beruniform iaitu Tunas Kadet Remaja Sekolah, Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Pengakap, Persatuan Tunas Puteri, dan Persatuan Puteri Islam. Jumlah murid adalah kira-kira 200 orang.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari tersebut. Antaranya, aktiviti memasang khemah, memasak, larian merempuh halangan, pertandingan persembahan, jalan lasak, dan sebagainya.
Selain itu, ada juga aktiviti yang berbentuk pertandingan seperti pertandingan khemah terbersih dan paling kreatif, membina menara, pertandingan kawad, dan pertandingan persembahan.
Selain itu aktiviti berbentuk kerohanian seperti ceramah agama dan motivasi turut diadakan. Bagi murid yang beragama Islam, solat secara berjemaah diadakan. Sementara murid bukan Islam diberikan pendidikan nilai murni dan moral. Aktiviti ini sedikit sebanyak dapat membentuk sahsiah diri murid supaya menjadi lebih baik.
Secara keseluruhannya, aktiviti ini berjaya mencapai matlamatnya. Murid-murid memperoleh banyak pengalaman yang berguna.


Disediakan oleh, 10 OGOS 2006.

roslijuharizahari
………………………………..….
(ROSLI BIN JUHARI@ZAHARI)

Setiausaha,
Tunas Kadet Remaja Sekolah(TKRS),
Sekolah Kebangsaan Setiawangsa,
Kuala Lumpur.