KUALA LUMPUR, 16 November 2009 : Semangat jitu dan saling bertolak ansur menjadi kunci utama pasangan suami isteri Rosli Juhari Zahari, 34, dan Wan Norzukiraini Wan Naman, 34, berjaya menamatkan pengajian ijazah Matematik di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
Pasangan yang berasal dari Kelantan itu juga berkata, berkongsi minat yang sama memudahkan pembelajaran selain bijak membahagi masa menyumbang kepada kejayaan mereka menamatkan pengajian jarak jauh selama empat tahun itu.
"Kebetulan saya dan isteri bertugas sebagai guru Matematik di sekolah rendah, maka tidak menjadi masalah bagi kami menelaah pelajaran. Kami juga kerap belajar secara berkumpulan.
"Tolak ansur dalam pembahagian masa juga membantu proses pembelajaran, contohnya jika saya belajar dan ke kelas, isteri akan menjaga anak dan menguruskan rumah tangga dan sebaliknya," kata Rosli selepas menerima ijazah pada Konvokesyen OUM, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Ibu dan bapa kepada tiga orang anak itu berkata, sokongan orang sekeliling, termasuk anak-anak menguatkan semangat mereka untuk menamatkan pengajian.
Wan Norzukiraini yang juga sedang hamil lima bulan berkata, menjadi isteri dan ibu tidak menghalangnya mencapai kejayaan berkenaan.
"Jangan cepat putus asa untuk belajar walaupun sudah bekerja atau berkahwin, anggap ia sebagai satu usaha membantu keluarga dan tanamkan pada diri jika isteri dan ibu lain mampu buat, kita juga boleh lakukannya,” katanya.
Pasangan itu melahirkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana di universiti tempatan dalam masa terdekat.
Nota:
Terima kasih kepada Cik Nadia (wartawan Berita Harian) dan jurufotonya.
Salam semua, semoga daam keadaan sejahtera dan dilindungi Allah s.w.t.
Dah lama saya tidak menulis. Entah tiba-tiba malam ini rasa lain macam. Tiba-tiba teringin untuk berkongsi dengan semua. Hari ni saya dapat hadiah daripada seorang ibu bapa. Hanya dengan sedikit pertolongan. Saya sungguh terharu dengan hadiah ini. Cantik dan menarik. Saya kurang arif tentang seni, namun saya tahu ianya memang cantik. Selama lebih kurang 12 tahun mengajar, (8 tahun sekolah menengah, 4 tahun sekolah rendah) inilah kali pertama saya mendapat hadiah yang istimewa macam ini. Tumpang seronok ialah anak-anak saya, Irfan (8thn), Ikhwan(6thn) dan Irsyad(2thn).
Dikesempatan ini saya ucapkan terima kasih kepada Encik Shaharuddin dan Puan Diana. Semoga Allah sahaja yang membalas segala ingatan anda. Hadiah ini menyegarkan saya untuk terus menjadi guru yang cemerlang dan memberi sumbangan yang terbaik kepada anak nusa, bangsa dan negara. Penghargaan yang diberikan amat menggembirakan saya dan keluarga. Hati saya terusik. Justeru itu, saya coretkan di blog saya ini sebagai menghargainya.