Wednesday 25 November 2009

KONVOKESYEN OUM KE-7




Pasangan Suami Isteri Terima Ijazah Matematik OUM

KUALA LUMPUR, 16 November 2009 : Semangat jitu dan saling bertolak ansur menjadi kunci utama pasangan suami isteri Rosli Juhari Zahari, 34, dan Wan Norzukiraini Wan Naman, 34, berjaya menamatkan pengajian ijazah Matematik di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Pasangan yang berasal dari Kelantan itu juga berkata, berkongsi minat yang sama memudahkan pembelajaran selain bijak membahagi masa menyumbang kepada kejayaan mereka menamatkan pengajian jarak jauh selama empat tahun itu.

"Kebetulan saya dan isteri bertugas sebagai guru Matematik di sekolah rendah, maka tidak menjadi masalah bagi kami menelaah pelajaran. Kami juga kerap belajar secara berkumpulan.
"Tolak ansur dalam pembahagian masa juga membantu proses pembelajaran, contohnya jika saya belajar dan ke kelas, isteri akan menjaga anak dan menguruskan rumah tangga dan sebaliknya," kata Rosli selepas menerima ijazah pada Konvokesyen OUM, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Ibu dan bapa kepada tiga orang anak itu berkata, sokongan orang sekeliling, termasuk anak-anak menguatkan semangat mereka untuk menamatkan pengajian.

Wan Norzukiraini yang juga sedang hamil lima bulan berkata, menjadi isteri dan ibu tidak menghalangnya mencapai kejayaan berkenaan.
"Jangan cepat putus asa untuk belajar walaupun sudah bekerja atau berkahwin, anggap ia sebagai satu usaha membantu keluarga dan tanamkan pada diri jika isteri dan ibu lain mampu buat, kita juga boleh lakukannya,” katanya.

Pasangan itu melahirkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana di universiti tempatan dalam masa terdekat.


Nota:
Terima kasih kepada Cik Nadia (wartawan Berita Harian) dan jurufotonya.